Pages

Saturday, February 27, 2010

Salam Maulidur Rasul: Kenalilah dan Cintailah Rasulullah Salallahualaihiwassalam

Dalam kita meraikan Maulidul Rasul, marilah kita hayati kenapa kita perlu mengingati dan menyayangi Rasulullah Salallahualaihiwassalam. Kelahiran beliau dalam Tahun Gajah (570 Masehi), 12 Rabiul Awal sebenarnya menyelamatkan umat manusia dari kegelapan dan kejahilan. Sejak lahir beliau memiliki sifat-sifat terpuji sehingga digelar Al-Amin (bermaksud Yang Benar) kerana kejujuran beliau. Walaupun dilahirkan dalam golongan keluarga Bani Hashim yang terhormat, beliau merupakan anak yatim sejak lahir. Bapanya Abdullah telah meninggal dunia sebelum beliau dilahirkan manakala Ibunya Aminah meninggal dunia semasa beliau masih kecil dan dijaga dengan baik oleh datuknya, Abdul Muttalib. Setelah datuknya wafat beliau dijaga dengan penuh kasih sayang oleh bapa saudaranya Abu Talib.

Rasulullah Salallahualaihiwassalam adalah seorang yang sangat bijaksana dalam mengendalikan kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat. Allah mengangkat darjat beliau dari seorang pengembala kambing menjadi seorang Rasul dan kekasihNya sehingga beliau dikatakan mempunyai sebaik-baik akhlak. Maha Suci Allah yang mampu melakukan segala-galanya. Ini menunjukkan walaupun Rasulullah tidak mempunyai kasih sayang ibu-bapa, hidup dalam keadaan serba sederhana beliau tetap boleh menjadi insan yang mulia dan berwawasan. Malahan sebelum diangkat menjadi Rasul, beliau dikatakan sangat suka berfikir.

Paras wajahnya manis dan indah. Wataknya berwibawa, tegas dan berwawasan tetapi sangat berlemah lembut dengan wanita dan kanak-kanak. Sifat beliau yang rendah diri, baik hati dan pemurah amat disenangi mereka disekeliling sehingga mereka pernah mengatakan sekiranya duduk bersebelahan dengan Rasululullah Salallahualaihiwassalam seperti mahu duduk selama-lamanya, dan apabila beliau bangun membawa diri, mereka sudah mulai merinduinya. Dengan sifatnya yang sedemikian itu, tidak hairanlah wanita terhormat seperti Siti Khadijah amat mencintai dan patuh kepada beliau.

Amat jarang kita mengambil Rasululullah Salallahualaihiwassalam sebagai contoh kerana kita sebenarnya tidak begitu mengenali personaliti beliau. Hakikatnya beliau merupakan seorang manusia yang sangat hebat. Menyebarkan ajaran Islam disaat umat manusia telah lama berada dalam kesesatan bukanlah sesuatu kerja yang mudah. Bagi anda yang kini sedang berusaha menyebarkan kebenaran disaat ini mungkin memahami kepayahan tersebut. Tetapi kepayahan yang kita rasai sekarang tidak langsung dapat menandingi kesusahan Rasulullah Salallahualaihiwassalam dalam membawa umat manusia kejalan kebenaran diwaktu itu.

Yang hebatnya, beliau tidak pernah mengeluh apatah lagi terasa hati. Sebaliknya beliau sentiasa memaafkan sesiapa sahaja yang memarahi, memaki hamun dan melakukan perkara yang tidak baik kepada beliau. Sehingga ke akhir hayatnya, semasa beliau tidak sihat, beliau pergi ke Masjid Nabawi dan bertanyakan adakah sesiapa yang beliau pernah kasari sebelum ini? Di ketika itu tidak ada sesiapa berani berkata apa-apa. Beliau ulangi lagi, adakah sesiapa yang beliau pernah kasari? Lagi sekali sahabat-sahabat sekelian diam. Kali ketiga beliau bertanya lagi perkara yang sama, beliau mengatakan:
“Wahai manusia, barangsiapa belakangnya pernah ku pukul, ini belakangku, balaslah! Barangsiapa kehormatannya pernah kucela, ini kehormatanku, balaslah! Dan barangsiapa hartanya pernah kuambil, ini hartaku, ambillah! Jangan takut akan jadi permusuhan, kerana itu bukan bawaanku”.

Akhirnya bangun seorang sahabat, mengatakan "Ya' Rasulullah, anda pernah mengasari saya". "Tongkat anda pernah terkena bahu saya semasa perang", jawabnya lagi. Rasululullah memberi tongkatnya kepada sahabat tersebut dan mengatakan kepada sahabat tersebut "Ambillah tongkatku ini dan ketuklah dibelakangku". Sahabat tersebut mengambil tongkat itu dengan serba salah, sambil yang lain-lain terdiam dan gundah melihat kejadian tersebut. Disaat Rasulullah memberikan bahunya untuk dipukul sahabatnya, terjatuh tongkat dari tangan sahabatnya , lalu beliau memeluk Rasulullah dan menangis. Sahabat-sahabat lain disitu juga turut menitiskan air mata melihatkan keagungan akhlak Rasululullah Salallahualaihiwassalam. Ada juga dikatakan seseorang pernah menuntut 3 Dirham, maka diberikannya Rasulullah Salallahualaihiwassalam 3 Dirham kepada orang tersebut.

Ini bermakna beliau adalah seseorang yang sangat adil dan kalau boleh beliau tidak mahu bermusuh dengan sesiapa apatah lagi menyakiti sesiapa.

Semasa sakitnya beliau berada dirumah isteri kesayangannya Sayidatina Aisyah. Dalam keadaan kesakitan pun beliau masih dapat bergurau senda bersama isteri kesayangannya itu. Disaat kakinya telah mulai menyejuk, mulut beliau masih lagi menyebut "Umati...Umati", iaitu bermakna Umatku...umatku. Begitulah kasihnya beliau terhadap umatnya. Walau apapun yang beliau lakukan adalah untuk kebaikan Umat Islam, tidak kira dari kehidupan sehari-hari, undang-undang Islam atau dalam bidang ekonomi, kesemua yang dilakukan adalah untuk kesejahteraan Umat Islam. Larangan terhadap Riba’, minuman keras, berzina, memakan makanan haram, melakukan maksiat dan saranannya untuk menjaga ahli keluarga, kaum wanita, kanak-kanak dan anak-anak yatim adalah bertujuan untuk manusia dapat hidup dengan aman damai dan sejahtera didunia yang hanya sementara ini. Adakah wajar kita abaikan kasih-sayangnya yang hebat terhadap kita? Itulah renungan buat kita semua dalam mengingati seorang yang bergelar Nabi Muhammad, Rasulullah Salallahualaihiwassalam ini. Sekiranya benarlah kita kasih akan beliau, belajarlah mengenal beliau dan contohilah beliau. Itu lebih bermakna dari mengadakan majlis-majlis keraian yang cuma menghiburkan.

P/S:
Ikuti kisah Rasulullah Salallahualaihiwassalam dalam Siri Qamar Bani Hashim di Astro Oasis hari Isnin-Jumaat dari pukul 11.00-12.00 malam atau Rabu-Ahad pukul 2 petang.

Tuesday, February 16, 2010

Rangkaian Dinar Emas 999 Logam Mulia dan Dirham






Assalamualaikum Sahabat-sahabat Dinar,
Syukur Alhamdulillah tahun ini bermula dengan agak memberansangkan kerana kami dapat berkenalan dengan sahabat-sahabat lain yang memperjuangkan Dinar Emas 999. Dan kini kami juga sudah mula dapat menyediakan stok Dinar Emas 999 iaitu 1 Dinar, 1/2 Dinar dan 1/4 Dinar. Oleh itu bagi anda yang berminat untuk memiliki Dinar, bolehlah menghubungi kami , Putra Dinar, Scogold, Jentayu Emas atau Golden Trapezium.

Harga Dinar Emas Terkini:
1 Dinar = RM 620
1/2 Dinar = RM 330
1/4 Dinar = RM 190

Anda juga boleh lawati blogspot mereka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perniagaan mereka yang lain selain dari Dinar.

Bagi anda yang berminat untuk memiliki Dirham pula, anda boleh menghubungi brother Nizam dan rakan-rakannya di Jentayu Emas. Anda juga boleh merujuk di Chat Box untuk nombor handphone beliau.

Selain dari itu, kami juga mempunyai satu berita baik bagi para pembaca blog ini. Salah seorang sahabat kami telah menyiapkan The Gold Dinar TV bagi anda yang ingin menyaksikan penceramah-penceramah kami membincangkan tentang Dinar dan kewangan dalam program-program TV. Diharapkan dengan adanya blog baru ini, anda dapat mengetahui lebih lanjut tentang Dinar Emas dan mengenali kami dengan lebih dekat. Terimakasih kami tidak terhingga atas usaha brother Faizal @ Yomida atas usaha tersebut. Semoga ada lagi pihak-pihak yang dapat tampil membantu kami memperkenalkan Dinar Emas kepada Ummah.

Harapan kami kepada para pembaca sekelian, sekiranya anda dapat memiliki Dinar Emas, simpanlah ia untuk tabungan, samada untuk mengerjakan Haji atau Umrah, untuk Mas Kahwin, untuk pelajaran anak-anak, untuk membiayai pembelian rumah atau kereta atau hanya untuk simpanan biasa. InsyaAllah anda tidak akan rugi.

Jumpa lagi dilain waktu, Wassalamualaikum w.b.k.