Pages

Showing posts with label Dinar. Show all posts
Showing posts with label Dinar. Show all posts

Tuesday, May 10, 2011

DINAR - DEEN ATAU NAR?

Assalamualaikum Para Pembaca Budiman,

Sejak kebelakangan ini usaha ‘menjual’ Dinar Emas semakin menjadi-jadi kerana kefahaman orang ramai tentang dinar semakin bertambah. Syukur Alhamdulillah kerana usaha dari pejuang-pejuang Dinar Emas yang hampir sedekad ini berjaya membuka mata orang ramai tentang Dinar Emas.

Tetapi malangnya usaha yang dahulunya bersatu kini menjadi berberapa ‘kuasa besar’ penjual Dinar Emas. Dan yang menyedihkannya lagi, apabila orang ramai sudah mula faham tentang Dinar Emas dan ingin memilikinya, berberapa ‘kuasa besar’ ini berebut-rebut akan permintaan-permintaan yang ada sehingga membuatkan orang ramai keliru siapa yang betul sekarang ini? Pihak ini kata, Dinar Emas merekalah yang betul. Pihak itu kata Dinar Emas merekalah yang betul. Kalau macam itu, siapa yang nak mengaku diri mereka salah? Masing-masing ‘declare’ diri merekalah yang betul dan yang pertama sekali diperkenalkan di Malaysia. Adakah kita lupa segala ‘declaration’ sepatutnya datang dari Allah? Bukankah Allah jua yang ‘declare’ Muhammad sebagai Rasulnya yang terakhir? Bukan itu sahaja, para Wali pun tidak mengaku Wali kerana Allah yang ‘declare’ samada mereka Wali atau tidak. Sedangkan orang-orang terhebat didunia ini TIDAK mendeclarekan diri sendiri, kenapa kita yang hanya manusia biasa nak ‘declare’ diri kita yang betul sekali? Nak declare Dinar Emas kita yang betul sekali dan termurah sekali? Dinar Emas kita terhebat sekali? Atau organisasi Dinar Emas kita yang terhebat sekali?

Bukankah yang lebih penting ialah mengeluarkan Ummah dari sistem Riba? Jadi tidak kisahlah emas yang mana atau berat yang mana atau ketulenan yang mana pun mereka simpan, ianya tetap emas. Kenapa bangsa Barat, Yahudi, China, India, Indonesia dan lain-lain mempunyai denominasi emas yang berbeza tidak hairan pun dengan denominasi emas yang berbeza ini? Kenapa kita yang kecil ini mahu berbalah tentang denominasi Dinar Emas?

Seorang ustadz di sebuah Madrasah di Melaka pernah berkata berhati-hatilah dengan Dinar Emas, kerana ia boleh jadi DEEN iaitu Ugama atau ianya boleh jadi NAR iaitu NERAKA. Waktu itu kami tidak berapa faham maksudnya kerana bagaimana mungkin sesuatu usaha jihad dikatakan boleh membawa ke NERAKA? Tetapi selepas apa yang berlaku sekarang ini, sudah jelaslah maksudnya. Dalam memperjuangkan Dinar Emas, terdapat satu garis halus yang memisahkan kebaikan dan keburukan. Sekiranya memperjuangkan Dinar Emas kearah kebaikan dengan keikhlasan, maka orang tersebut mendapat Ugama yang membawanya ke-SYURGA. Tetapi sekiranya perjuangan Dinar Emas itu disalahgunakan, maka semua usaha tersebut akan membawanya ke-NERAKA.

Kita selalu fikir sekiranya kita berjuang memperkenalkan Dinar Emas kepada orang ramai terutamanya yang berugama Islam, kita sudah menjadi penyelamat Ummah atau penyelamat Agama. Atau kita fikir kita berjaya memiliki Dinar Emas, kita sudah suci bersih di mata Allah. Tidak ada gunanya kita menjual Dinar Emas, tetapi hati dan jiwa penuh dengan hasad dengki atau kita memiliki Dinar Emas tetapi sibuk memikirkan untung dalam bentuk RM-nya. Kalau inilah yang berlaku, Dinar Emas bukanlah memakmurkan Ummah, tetapi menghancurkan Ummah.

Ramai yang akan tertanya-tanya bagaimana Dinar Emas boleh membawa ke-NERAKA? Para pejuang Dinar Emas yang dahulunya ikhlas berjuang kerana Allah sudah lalai dek kerana keuntungannya yang banyak. Kalau tidak kerana keuntungan pun, kerana status dan populariti yang diperolehi apabila menjual Dinar Emas. Usaha yang dahulunya satu padu sudah berpecah-belah kerana masing-masing mahu mengawal pasaran Dinar Emas. Siapa yang dapat mengawal pasaran Dinar Emas, dialah kelihatan lebih berkuasa. Oleh itu masing-masing berusaha melemahkan dan menghancurkan pihak-pihak lain.

Ada yang mengaku dirinya yang paling betul antara semua. Ada yang mengaku dirinya dilantik sebagai ketua atau khalifah dalam Dinar Emas. Ada yang menghantar orang untuk berpura-pura hendak beli tapi tak jadi sebaliknya menyusahkan hidup penjual Dinar dengan berdebat. Ada juga yang melaga-lagakan ahli-ahli dalam pihak lain supaya huru-hara dan berpecah-belah. Pihak yang dahulunya besar, sudah jadi lemah. Dan yang besar tak semakin berkuasa pun. Dan untuk membalas dendam, ada pihak yang mahu perang harga.

Ada juga yang menghantar orang ke-ceramah pihak lain untuk mendapatkan strategi dan maklumat pihak lain. Tak kurang juga yang mengaku dirinya yang pertama di Malaysia tanpa usul periksa siapa yang pertama. Anak murid Dinar Emas yang berpaling-tadah dan memandai-mandai jual dinar untuk keuntungan juga tak kurang banyaknya. Itu belum lagi menyembunyikan maklumat dan memutar-belitkan maklumat dalam Dinar Emas. Dan banyak lagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh penjual atau pembeli Dinar Emas. Yang menyedihkan dalam persaingan yang tidak sihat ini, yang menjadi mangsa ialah Umat Islam sendiri. Kami sering mendengar pakcik makcik kehilangan wang kerana melabur berpuluh-puluh ribu RM dalam perniagaan emas yang kononnya menguntungkan. Tak kurang juga ramai yang membeli emas dan perak tanpa sijil yang sah, akhirnya tak tahu nak buat apa dengan emas dan perak tersebut.

Kenapa kita perlu berperang sesama sendiri dalam UGAMA YANG SAMA? Apabila kita melancarkan semua strategi kotor ini, adakah Allah dan Rasulullah akan suka melihatnya? Kenapa kita perlu nak ‘control’ atau monopoli semuanya? Lupakah kita rezeki ditangan Allah? Allah akan memberi rezeki kepada siapa yang dikehendakiNya, jadi kenapa kita nak bolot juga rezeki orang? Rezeki kita tak cukupkah? Dapat pergi keluar negara dan memandu kereta mewah tidak cukup? Dapat status, populariti dan tinggal dirumah besar pun sudah tak mencukupi? Dapat kesihatan yang baik, keluarga yang bahagia dan rakan-rakan yang baik tidak mencukupi sehingga kita sanggup melakukan kerosakan?

Allah berfirman dalam Surah al-Qasas, ayat 77:

“Tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu (dengan pemberian nikmatnya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.

Sekiranya Allah sudah melimpahkan rezeki yang banyak kepada kita, apa salahnya kita berkongsi dengan peniaga-peniaga Islam yang lain? Seperti mana krisis ekonomi yang boleh merebak, kebaikan sesama Muslim juga boleh merebak sekiranya kita sanggup berkongsi. Perkongsian kearah kebaikan bukan sahaja mengeratkan silaturrahim, malah boleh memakmurkan ekonomi umat Islam itu sendiri. Itu belum lagi pahala yang dikurniakan Allah. Tidakkah ini yang umat Islam amat perlukan disaat ini?

Tahukah anda, dalam Ayat 34 & 35 Surah Al-Tawbah: Allah berfirman mafhumnya: (Ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab yang pedih. (Iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan harta benda) itu dalam Neraka Jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): 'Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab daripada) apa yang kamu simpan itu'.

Jadi adakah kita cuma memikirkan keuntungan diri sendiri semata-mata tanpa memikirkan kebaikan ummah? Perlukah kita mengawal Dinar Emas untuk keuntungan diri sendiri sekiranya ianya membawa kita lebih ke-Neraka? Mahukah kita merasa azab Allah ini semata-mata kerana kita mahu mengawal Dinar Emas ini untuk diri sendiri?

Dalam sebuah buku bertajuk Usahawan: Kaya Wang Kaya Iman yang ditulis oleh Saudara Saat Sulaiman menyatakan usahawan Islam diseluruh dunia bertanggungjawab membangunkan ekonomi Islam dan mengamalkan segala teori dan sistem ekonomi Islam. Tetapi malangnya ramai usahawan Islam tidak mempedulikan ekonomi Islam yang berteraskan bimbingan Al-Quran dan Hadis maka lahirlah banyak masalah seperti monopoli, menyembunyikan produk, hasad dengki, spekulasi harga dan masalah-masalah sosial yang lain.

Dalam zaman permerintahan Khalifah Umar r.a, seorang yang bijaksana dalam ekonomi, terdapat sistem pasar dan pasaran yang hebat. Kita sepatutnya mencontohi sistem pasar tersebut yang mana, beliau mengadakan sebuah pasar yang sesiapa sahaja boleh berniaga dengan halal disitu. Beliau menggalakkan pasaran bebas dan monopoli tersorok adalah dilarang sama sekali. Sayiddina Umar sangat mementingkan sekatan harga. Menjual barang dengan harga yang sangat murah untuk tujuan mnghancurkan pesaing tidak dibenarkan langsung. Ini adalah untuk melindungi peniaga kecil-kecilan yang tidak dapat menanggung kos perniagaan yang tinggi berbanding peniaga besar. (Economic System Under Umar the Great oleh Irfan Mahmud Ra’ana). Undang-undang keadilannya ketat iaitu berdasarkan siapa dulu dia dapat tempat, dan tidak membolot kesemuanya. Sebagai contoh ringkas, penjual A, B, C datang dahulu maka mereka mendapat tempat dalam pasar. Apabila barang A sudah habis, tempatnya digantikan dengan penjual D. Maka penjual A balik rumah dan meluangkan masa dengan keluarga dan beribadat. Urusannya mudah dan tidak ada persaingan tidak sihat kerana masing-masing percaya Allah sudah memperuntukan rezeki masing-masing. Jadi buat apa berebut? Dalam kita berebut-rebut mendapat tempat dalam pasaran Dinar Emas, adakah kita ada masa menjaga diri dan keluarga? Adakah kita ada masa menambahkan ibadah? Adakah kita lebih mengingati Allah apabila berjual beli Dinar Emas?

Surah An-Nur, ayat 37-38, Allah berfirman yang bermaksud:

Ibadat itu dikerjakan oleh orang-orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnianya dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakinya dengan tidak terhitung.

Dinar Emas akan membawa kita ke-NERAKA kerana sikap kita terhadap saudara seagama. Islam mengganggap seorang Muslim yang lain adalah bersaudara tapi kita PERANG SAUDARA. Kerana dengan PERANG SAUDARA inilah Islam akan bertambah lemah dan mudah dikuasai bangsa lain. Kenapa Yahudi dan bangsa Cina hebat dalam perniagaan, kerana mereka saling bantu-membantu saudara seugama dan sebangsa tidak kira diceruk mana. Sebab itulah bangsa Cina boleh ada pasar atau Chinese Town di kebanyakan negara dalam dunia ini. Menurut Henry Ford dalam bukunya The International Jew, beliau menyatakan seorang Yahudi yang kaya-raya di sebuah negara sanggup membantu Yahudi miskin dalam jumlah yang kecil di negara lain. Kerana persaudaraan yang kuatlah mereka berjaya menguasai ekonomi dunia. Sedangkan kita hendak menjayakan satu pasar Dinar Emas di Malaysia dan Indonesia pun susah kerana PERANG SAUDARA.

Persoalannya, siapakah yang sepatutnya mengawal Dinar Emas? Adakah kita atau Allah? Apakah kebaikan monopoli pasaran Dinar Emas sekiranya ianya menghancurkan saudara kita yang lain? Apakah gunanya kita ‘declare’ kita yang terbaik dan pertama sekiranya kita menghancurkan hati dan perasaan saudara seagama. Apakah gunanya kita perang harga dan kemudian perang saudara sekiranya itu akan membawa kita lebih ke-NERAKA dari ke-SYURGA. Fikir-fikirkanlah...

Tuesday, January 4, 2011

Lagi Selebriti Menggunakan Dinar Emas Murni Sebagai Mas Kahwin

Assalamualaikum Para Pembaca Budiman,

Sudah lama kami tidak dapat update blog ini kerana memenuhi banyak jemputan di Jakarta, Pulau Pinang dan Kedah. Dalam pada itu, kami juga memenuhi jemputan kenduri kahwin pada musim cuti sekolah yang lalu.

Alhamdulillah, pada 17 Disember, 2010, saudara Salleh Nor, seorang pelakun drama dan model telah selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Syafinaz Yunus, seorang pengacara TV. Beliau telah menggunakan set 1 dinar emas dengan kotaknya untuk dihadiahkan kepada suri hatinya itu. Didoakan pasangan ini bahagia sehingga ke akhir hayat, dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah serta diberkati Allah didunia dan diakhirat. Amin.

Terimakasih saudara Salleh Nor kerana membenarkan kami membuat liputan.




















Saturday, November 13, 2010

Muqaddimah

Topik Dinar Emas mula diperbualkan selepas Krisis Kewangan yang melanda Malaysia pada tahun 1998. Selepas itu, mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mencadangkan negara-negara OIC untuk melakukan perdagangan dengan menggunakan Dinar Emas.


Kemudian, kewujudan Dinar Emas telah diperkenalkan secara rasminya dan diperdebatkan di Malaysia pada 19 Ogos, 2002 di satu persidangan antarabangsa bertajuk 2002 International Conference on Stable and Just Monetary System: The Viability of the Islamic Dinar yang dianjurkan Universiti Islam Antarabangsa di PWTC, Kuala Lumpur.


Hasil dari persidangan tersebut, kajian menyeluruh mengenai Dinar Emas telah dibentangkan oleh ramai ahli akademik dan profesional dari jurusan kewangan, ekonomi, syariah dan undang-undang. Kesemua kajian-kajian tersebut telah dikompilasikan dalam satu prosiding bertajuk Proceedings 2002 International Conference on Stable and Just Monetary System: The Viability of the Islamic Dinar.


Pada awal pengenalan Dinar Emas, ramai ahli kewangan dan ekonomi skeptikal tentang kewujudan Dinar Emas dan keupayaannya untuk menggantikan sistem kewangan yang sedia ada, yakni yang berasaskan wang kertas (paper currency). Walaupun demikian, sekumpulan kecil penggiat Dinar tetap meneruskan usaha mereka meyakinkan orang ramai tentang kebaikan Dinar. Alhamdulillah, berkat usaha mereka ini, Dinar semakin diterima dan diyakini terutama apabila tanda-tanda kehancuran ekonomi Amerika Syarikat semakin jelas kelihatan. Kini, apabila keyakinan terhadap matawang Dollar Amerika semakin rapuh, seluruh dunia semakin yakin terhadap Emas. Di sesetengah negara seperti Indonesia, stok emas kehabisan disebabkan para pelabur berpusu-pusu membeli emas (gold rush). Secara tidak langsung, semakin ramai yang berminat menyimpan Dinar Emas disebabkan denominasinya yang kecil berbanding bullion.


Walaupun sudah 6 tahun berlalu dari persidangan pertama Dinar di Malaysia, masih ramai yang tidak jelas tentang kewujudannya. Maka disebabkan itu, banyak kekeliruan timbul dari segi spesifikasinya, mengapa Dinar Emas diperlukan dan bagaimana melaksanakannya. Soalan-soalan lazim seperti tidakkah berat membawanya, keselamatan menyimpannya, bagaimana untuk mendapatkannya dan bagaimana hendak menggunakannya akan cuba kami jawab. Oleh itu pihak kami mengambil inisiatif ini untuk menjelaskan dan menyampaikan maklumat mengenai Dinar Emas, perkembangannya dan perlaksanaannya kepada anda.


Kami akan menyiarkan kajian-kajian dan artikel-artikel yang ditulis oleh para penggiat Dinar Emas untuk dikongsi bersama anda. Selain dari itu, kami akan memaparkan program-program Dinar Emas yang terdahulu sama ada dari segi audio, video atau penulisan dan program-program terkini untuk anda yang berminat menghadirinya dan mengetahui lebih lanjut mengenai Dinar Emas.


Terimakasih kerana melawat blog ini. Sila kembali dari masa ke semasa bagi mendapatkan maklumat terkini.

Admin

Baca Entri Baru : Skrol ke Bawah

Saturday, October 16, 2010

Harga Baru untuk Fine Gold Dinar Logam Mulia dan Promosi Maskahwin

Assalamualaikum,
Berikut adalah harga terbaru untuk Fine Gold Dinar Logam Mulia bermula 15/10/2010:

1 Dinar = RM720

1/2 Dinar = RM370

1/4 Dinar = RM220

Untuk promosi Maskahwin, kami ada menyediakan 1 Dinar bersama kotak dari jenis kayu Rosewood (yang berasal dari hutan kayu di Indonesia yang berusia ratusan tahun) seperti berikut:


Harga 1 dinar = RM660 (Stok 1 dinar tinggal 1)

Harga kotak = RM 150


Jumlah = RM810

Harga Promosi untuk bulan Oktober-Disember = RM 800


Stok kotak adalah terhad (hanya tinggal 3), oleh itu ia berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Untuk mendapatkan dinar dan kotak ini sila hubungi:

Norman (019 640 1444) - Kuala Lumpur

Adam (012 699 6111 / 013 651 6156) - Kuala Lumpur


Untuk keterangan lanjut, boleh hubungi:

Iza (013 630 1430/ 012 918 9270) - Melaka

Sekian terimakasih

Thursday, August 5, 2010

Siri Jelajah Dinar Bandung 2010

Assalamualaikum W.B.T dan selamat sejahtera,


Alhamdulillah syukur ke hadrat illahi dapat lagi saya menulis dan berkongsi pengalaman di sepanjang perjalanan dan perjuangan dinar dirham ini. Tulisan pada kali ini akan menceritakan sedikit pengalaman dari kami , Team The Gold Dinar berkenaan perkembangan Dinar Dirham di Indonesia. Pada 20 Julai sehingga 25 Julai, delegasi kami yang diketuai oleh En Abdul Halim bin Abdul Hamid (http://thegolddinar.blogspot.com/) telah dijemput untuk menjadi panel di dalam “Seminar Internasional Ekonomi Syariah: Kebangkitan
Ekonomi Syari’ah di Tengah Krisis Ekonomi Global” yang berlangsung di Bandung, Indonesia. Acara ini sebenarnya adalah rentetan daripada seminar antarabangsa yang berlangsung di Jakarta pada bulan April yang lalu.

Acara sepanjang minggu ini adalah anjuran dan kerjasama antara Jemaah Hizbullah, Madrasah Al Fatah, PUSDAI (Pusat Studi dan Dakwah Islam) Bandung dan Pemprov Jabar.

Pada hari pertama majlis iaitu 21 Julai 2010, empat orang penceramah telah terlibat untuk memberikan taklimat. Acara dibahagikan kepada 2 sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang. Sesi pagi adalah dari En.Abdul Halim Abdul Hamid, Praktis ekonomi Syariah Malaysia dengan tajuknya “Matawang Hakiki Sebagai Jalan Menuju Kesatuan dan Kekuatan Umat” dan En. Muhaimin Iqbal (Presiden Gerai Dinar) dengan tajuknya “Dinar Islam: Dari Teori ke Praktik”.

Ceramah dari En Abdul Halim akan disiarkan di http://thegolddinar-tv.blogspot.com/ (Ceramah beserta montaj dan slide show untuk pemahaman yg lebih berkenaan ilmu dinar dan dirham yang sebenar).




Kiri sekali, En. Muhaimin Iqbal (Gerai dinar.com) dan kanan sekali En. Abdul Halim

Sesi soal jawab bersama wakil governer daerah Bandung

Pada waktu rehat selepas solat Zohor En Abdul Halim Abdul Hamid telah diwawancara oleh akhbar tempatan untuk dimuatkan di dalam berita tempatan.

Berikut adalah link berita dan gambar semasa sesi temuramah.

http://www.nyarticle.com/business/pasar-ukaz-online-pasar-syariah-online




Pada sebelah petang pula adalah dari KH Yaksyallah Mansyur, Pengetua Madrasah Al-Fatah dengan tajuknya “Peranan Kepimpinan Dalam Penerapan Ekonomi Syariah” dan Dr. Ahmad Riawan Amin dengan tajuknya “The Money Bubling Machine” (juga pengarang buku Satanic Finance)



Kiri sekali En Yakshallah Mansyur dan kanan sekali En. Ahmad Riawan Amin

En Abdul Halim bersama wakil Logam Mulia (Pak Subekti) dan Duta Hizbullah di Malaysia (Pak Udin)

Pada waktu malam pula kami telah dibawa sendiri oleh Pengetua Al-Fatah, Yaksyallah Mansyur untuk melihat sendiri persiapan bagi Pasar Ukaz. Pasar Ukaz adalah merupakan satu pasar kuno yang berlaku sebelum dan semasa kedatangan baginda Nabi Muhammad S.A.W. Pasar ini menggunakan dinar, dirham kupon (gantian bagi wang kecil) sebagai matawang. Setiap orang yang ingin membeli produk-produk di dalam pasar ini dikehendaki untuk menukarkan dahulu rupiah mereka dan sekiranya ada lebihan mereka boleh menukar balik kepada rupiah mereka atau menyimpan terus. Tujuan utama pasar ini adalah untuk menjadi simulasi kepada perdagangan menggunakan dinar dan dirham selain memperkenalkan model pasar zaman nabi. Menurut Pak Yaksyallah apa yang lebih unik tentang pasar ini adalah produk-produk yang dijual adalah produk yang terpilih bagi seluruh Indonesia termasuk dari Kalimantan juga dan produknya bukanlah dari Bandung sahaja.


Keadaan sebelum acara perasmian Pasar Ukaz



Kemudian keesokan harinya adalah hari perasmian dan lawatan di sekeliling Pasar Ukaz. Pihak kami dibawa ke semua kedai yang terlibat untuk diperkenalkan kepada kami produk-produk yang menjadi pilihan.


Gambar-gambar di sekitar upacara perasmian:



Ucapan perasmian dari En. Abdul Halim



Ucapan Perasmian

Bersama pemimpin-pemimpin tertingi Hizbullah:


Berikut adalah link-link berkenaan Pasar Ukaz yang mendapat liputan meluas dari akhbar tempatan:

http://www.alhikmahonline.com/content/view/1205/14/

http://www.alhikmahonline.com/content/view/1187/14/

http://hidayatullah.com/home/128-agenda-ummat/12614-pasar-ukaz-adakan-seminar-ekonomi-syariah-dan-korban-mavi-marmara

http://www.eramuslim.com/berita/info-umat/pusdai-bandung-akan-gelar-pasar-berbasis-dinar-dirham.htm

http://antarajawabarat.com/lihat/berita/25004/PEKAN-PASAR-UKAZ-TARGETKAN-15000-PENGUNJUNG

http://www.beritabandoeng.com/berita/2010-07/pasar-ukaz-hadir-di-pusdai-jabar/

http://dinarku.com/artikel/2010/1/30/16/PASAR-UKAZ.asp

Gambar-gambar disekitar Pasar Ukaz:







Vcd original Upin & Ipin turut dijual. Di Indonesia rakyatnya cukup mengenali kartun popular dari Malaysia ini.





Stand penukaran dinar, dirham dan kupon:



Dinar dan dirham yang digunakan di dalam Pasar Ukaz:



Kupon sebagai gantian kepada fulus
Pada hari Jumaat, 23 Julai 2010 kami di bawa mendengar pengalaman pejuang kemanusian Gaza yang menaiki Mavi Marmara dan di serang oleh tentera Israil. Beliau adalah salah seorang yang terkena tembakan dan kebanyakan rakan-rakannya telah pun terkorban akibat dari tembakan itu. Keadaan beliau pada masa itu adalah seperti nyawa-nyawa ikan yang hampir mati, sukar dan sesak nafas, sejuk yang teramat sangat dan telah pun diajar untuk mengucap kalimah syahadah oleh rakan-rakannya memandangkan keadaan beliau yang pada logiknya akan meninggal dunia. Tetapi dengan kuasa Allah umurnya telah panjang dan dapat berkongsi pengalaman bersama kami. Orangnya masih muda, umurnya sekitar 20-an, mempunyai 2 orang anak dan telah pun mempunyai niat untuk syahid di jalan Allah, malah lebih dari itu telah merasa peluru senapang dan merasa saat diambil nyawa. Tanyalah diri anda, adakah anda sudah sanggup menempuh liku-liku fisabilillah seperti beliau? Kami merasa diri ini amatlah kerdil jika dibandingkan dengan perjuangan dinar dan dirham yang kami lakukan ini. Sememangnya hari itu merupakan hari yang membakar semangat kami untuk terus berjuang dengan ikhlas di jalan Allah hingga ke akhir hayat. Insya Allah, Amin.


Menceritakan saat mencemaskan di sana

Jahitan tembakan di atas perut beliau


Pada hari berikutnya, 24 Julai 2010 iaitu hari sabtu adalah hari bagi kami bersiar-siar di bandar Bandung. Pihak kami telah dibawa melawat ke tempat-tempat tourist attraction seperti Takuban Perahu (kawasan gunung berapi), Kawasan air panas Sari Ater, Pasar Baru dan banyak lagi nama tempat yang tidak teringat namanya. Sememangnya satu hari untuk berjalan di bandung tidak akan cukup tapi kami tetap bersyukur yang teramat sangat dengan layanan yang diberikan kepada kami walaupun mereka sendiri sibuk menganjurkan Pasar Ukaz.



Kawah gunung berapi



Selanjutnya pada hari terakhir, 25 Julai 2010 iaitu hari ahad adalah hari kemuncak majlis. Hari ini adalah hari dimana wakil dari Palestin iaitu duta Palestin sendiri hadir untuk memberikan ceramah. Selain itu muslimin dan muslimat yang hadir juga datang dari jauh hingga menyebabkan masjid dipenuhi dengan jemaah. Ramainya ibarat sembahyang Jumaat di masjid itu. Ada yang datang dengan menggunakan rombongan bas, ada yang datang dari Jakartadengan hanya menunggang motosikal dan ada yang datang dengan menggunakan keretapi. Adajuga yang datang dari Jakarta dengan keretapi dan hanya menggunakan tapak tangan sahaja (atau lebih tepat lagi orang OKU) untuk hadir menuju ke majlis ini,. Semangat seperti ni sememangnya jarang sekali kalau kita hendak lihat di Malaysia terutamanya yang melibatkan majlis ilmu.



Contoh bendera semasa perang Badar (bendera hitam besama tulisan Allahu Akbar)

Kesimpulannya apa yang kami dapat di sini penuh bermakna dan banyak perkara yang kami lihat dapat membuka minda kami. Mereka secara tidak langsung memberikan kami contoh dan teladan yang patut kita teladani. Bermula daripada layanan ke atas tetamu, semangat kembali kepada islam sepenuhnya, ikatan ukhwah sesama muslim, tolong menolong hinggalah kepada perjuangan yang tidak mahukan ganjaran dunia. Pernah kami berbual dengan seorang graduan degree yang belum ada pekerjaan. Dia datang dari Jakarta ke Bandung dengan motosikal, datang seminggu sebelum majlis bermula semata-mata untuk membantu, tempat tinggal hanyalah masjid yang sememangnya tiada kemudahan penginapan, tiada upah atau ganjaran dunia yang mereka dapat, dah lah belum ada kerja lagi, malah kena keluar duit sendiri lagi!! Inilah contoh perjuangan yang patut kita contohi, kita di sini patut lebih bersyukur dan lebih banyak melibatkan diri dengan aktiviti dakwah dan kerja amal kerana kita berada dalam negara yang lebih baik dari segi ekonomi dan keadaan. Kadang-kala kesibukan dunia yang terlampau menyebabkan kita lalai dan alpa terhadap tugas kita sebagai khalifah dimuka bumi, hinggalah bila saat ajal hampir tiba masa tulah kita baru tersentak. Samalah ibarat orang tidur dibuai mimpi sahaja kehidupan ini. Jazakallahu Khairan Kathiran.

“Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahku

Ayat 56, Surah Az-Zariyat.