Pages

Showing posts with label Ayat Quran. Show all posts
Showing posts with label Ayat Quran. Show all posts

Sunday, July 11, 2010

Ujian dan Kesabaran

Assalamualaikum Para Pembaca Budiman,

Kebelakangan ini kami kerap diuji sehingga hampir melunturkan semangat untuk berjuang ke jalan Allah. Dari kehadiran muka-muka baru yang tidak faham tentang dinar tetapi mengambil kesempatan meraih keuntungan dengan membuat dinar sebagai bahan spekulasi, kepada konflik antara dinar 916 dan 999, tidak kurang juga pejuang-pejuang dinar yang tidak dapat bertahan dengan ujian-ujian yang mendatang. Kesemuanya terpaksa kami lalui dengan sabar dan redha.


Masa mula-mula memperjuangkan dinar emas, dugaannya berlainan kerana waktu itu ramai yang tidak tahu mengenai dinar emas. Malahan minting juga tidak dapat dilakukan kerana tidak cukup wang. Diwaktu itu, ramai yang bertanya, ‘Boleh ke jadi ekonomi dinar emas ni?’, ‘Boleh buat ke dinar emas ni?, ‘Kenapa kita nak kembali ke zaman kolot dahulu kala?’. Pendekkata ramai yang tidak yakin dinar mampu menjadi matawang ummah. Soalan demi soalan yang diajukan hampir melemahkan semangat kami untuk memberi penerangan tentang dinar.


Tetapi Allah tidak membiarkan kami terus berputus asa. Walaupun sedikit, ada juga muslim ummah yang ingin mengetahui tentang dinar emas ini dengan lebih lanjut. Dan kini semakin ramai yang tahu tentang dinar emas, malah sudah ramai yang menyimpannya. Tetapi kini ujian lain pula yang timbul. Sebagai insan biasa, kami juga mempunyai kelemahan dan melakukan kesalahan. Oleh itu kami memohon maaf atas segala kesilapan-kesilapan tersebut.


Kami sedar, ujian ini bukan bermakna Allah melupakan kami, malah itulah caranya Dia mengajar kami erti kesabaran. Kita kerap menyangka, apabila kita tidak diuji, Allah sayang kepada kita dan memuliakan kita, sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya.


Allah berfirman dalam Surah Al-Fajr ayat 15;

Oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: “Tuhanku telah memuliakan daku!”


Kita kerap menyangka apabila Allah memuliakan dan memewahkan hidup kita, kita adalah mulia dan Allah redha kepada kita, sedangkan sebenarnya kita menjadi sombong dengan kemuliaan dan kemewahan tersebut. Dan apakah apabila kita diuji dengan kepayahan, maka Allah benci akan kita?


Allah berfirman dalam Surah Al-Fajr ayat 16;

Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku telah menghinakan daku!”


Kita sudah terkeliru dengan menyangka apabila Allah permudahkan segala-galanya, kita adalah insan yang mulia dan apabila Allah memberi kepayahan dan kesusahan, maka kita adalah hina disisi Allah.

Sedangkan Allah sudah menjelaskan dalam ayat yg sama, ayat ke 17, yang bermaksud:


Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang Ia berhak menerimanya).


Kami akur, sesusah mana pun perjuangan dinar dan menegakkan agama Allah ini kami harus teruskan juga kerana Allah sudah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 216, yang bermaksud;


Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.


Oleh itu kami menyerahkan segala urusan kepada Allah. Pada pendapat kami Allah jualah yang menentukan siapa pejuang-penjuang dinar emas yang ikhlas dan dinar mana yang akan digunapakai ummat Islam. Kerana Allah itu Maha Adil dan Maha Mengetahui. Mudah sahaja bagi Allah untuk membuatkan masyarakat jahiliyah untuk terus mengikut ajaran Rasulullah salallahualaihiwassalam, tetapi Dia tidak memudahkannya. Adakah Dia tidak kasih pada RasulNya? Tidak bukan, kerana kasihNya pada Rasulnya dia berikan berbagai bentuk ujian. Dan mudah sahaja bagi Allah untuk mengangkat darjat seorang gembala kambing menjadi seorang Rasul yang ajarannya diikuti sehingga kehari ini diseluruh dunia. Apakah kita tidak yakin dengan kekuasaan Allah?


Mudah-mudahan pengalaman yang kami lalui menjadikan kami lebih tabah, sabar dan redha dengan ujian dimasa akan datang. Semasa Rasulullah
(salallahualaihiwassalam) mengutuskan Zayd bin Haritha menjadi ketua perperangan menentang Kerajaan Rom pada bulan Jamadilawal tahun ke-8 Hijrah, di medan perperangan cuma ada 3,000 tentera Islam, manakala 200,000 tentera Rom. Tetapi adakah mereka berundur dan mengaku kalah? Tidak! Mereka teruskan sehingga 3 sahabat yang Rasulullah (salallahualaihiwassalam) kasihi iaitu Zayd sendiri, Jaafar bin Abi Thalib dan Abdullah bin Rawaha terkorban. Rasulullah (salallahualaihiwassalam) sendiri mengalirkan air mata mendengar berita kewafatan ketiga-tiga sahabat yang dikasihinya. Mereka juga kalah dalam perperangan tersebut.


Tetapi adakah mereka berhenti ketika itu.
Jawapannya tidak, mereka terus berusaha sehingga Islam mendapat kemenangan besar. Oleh itu pejuang-pejuang Islam dan pejuang-pejuang dinar emas yang sejati, teruskan perjuangan kita. Kita bukan dinilai dengan harta, pangkat dan kedudukan kita didunia. Tidak kisah jika kita tidak dipuji dengan apa yang kita lakukan, kerana bukan itu niat dan kemahuan kita. Kita cuma mahukan keredhaan Allah.


Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud:

"Dan sungguh Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar."

Dalam Surah Al-Imran ayat 200 pula, firman Allah yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, dan kuatkanlah kesabaranmu dan bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah, nescaya kamu beroleh kemenangan."

Inna Lillahi wa Inna Ilaihi Raaji'uun.
(Sesungguhnya kami berasal dari Allah dan kepada-Nya kami akan kembali.)"
(Surah Al-Baqarah ayat 156)

Wassalam.


Wednesday, December 10, 2008

Duit Raya Dengan Dinar Emas

Assalamualaikum sahabat-sahabat sekelian,
Selamat Aidil Adha kami ucapkan kepada anda dan semoga anda berbahagia bersama keluarga di hari yang mulia ini. Kami amat gembira kerana telah mendapat duit hari raya berbentuk dinar emas tulen pada 2 Disember, 2008 dari Mariwasa Kraftangan Sdn. Bhd. Kami telah menempah 1 dinar and 4 dinar emas ini pada bulan Oktober yang lalu. Ia mengambil masa sebulan lebih untuk siap. Memberi dinar emas adalah satu idea yang baik untuk duit hari raya. Ini adalah kerana ia sejajar dengan ayat al Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 267 yang bermaksud:
Hai orang-orang yang beriman, nafkanlah sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu nafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya, melainkan dengan memejamkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

Oleh itu, kita disarankan supaya menghadiahkan yang baik-baik kepada orang lain. Hadiahkanlah kepada orang benda-benda yang kita sendiri suka menerimanya, seperti emas. Rasa-rasanya ramai orang gembira menerima emas berbanding lain-lain hadiah. Seperti contoh, ada dikalangan kami yang sudah mula memberi hadiah dinar emas kepada anak-anak semasa hari raya. Dari kecil anak-anak ini sudah tahu kewujudan dinar emas dan tahu menghargainya. Malahan ada dikalangan anak-anak ini yang meminta ibu bapa mereka menukarkan duit simpanan mereka kepada dinar emas! Ini adalah satu petanda yang baik untuk masa depan ummah. Diharapkan lebih ramai lagi ibu bapa yang akan mengambil tindakan sebegini, terutama disaat ini apabila harga emas adalah rendah. InsyaAllah.

(We will post the translation of this posting in the near future).


1 Dinar dan 4 Dinar


4 Dinar


1 Dinar