Pages

Showing posts with label Penempa Dinar Emas. Show all posts
Showing posts with label Penempa Dinar Emas. Show all posts

Monday, January 26, 2009

Proses Penempaan dan Penukaran Dinar Emas

Assalamualaikum Semua,

Hari ini kami akan menceritakan bagaimana anda boleh menempa Dinar Emas dan menukarkannya kepada RM sekiranya perlu. Sebenarnya kami tidak menggalakkan anda menjual balik Dinar kecuali terpaksa. Kerana, di antara wang kertas dan emas, emas sangat-sangatlah bernilai terutama bagi jangkamasa panjang. Oleh itu, sekiranya anda ada menyimpan Dinar, anggaplah ianya aset kekal seperti membeli rumah. Seboleh-bolehnya, tukarkan RM anda kepada Dinar Emas dari masa ke semasa untuk mengurangkan pergantungan ke atas wang kertas yang semakin hilang nilainya.

Penempaan Dinar Emas

Di pihak kami, penempaan Dinar Emas tidak dilakukan secara berkala (samada seminggu sekali atau sebulan sekali). Kami cuma akan menempa Dinar Emas apabila kami dapati harganya murah berbanding masa-masa lain. Selalunya apabila harga emas dunia jatuh ke paras USD750 kebawah untuk 1 Troy Ounce (bersamaan dengan 31.1gram), kami akan mula memantau harga emas. Ini adalah kerana dengan jumlah wang yang sama, kita dapat menempa lebih banyak Dinar Emas.

Apabila tiba masa yang sesuai untuk menempa, kami akan menghubungi Mariwasa atau Logam Mulia untuk mengetahui kos sebenar menempa 4, 2, 1, 1/2 dan 1/4 Dinar Emas. Kos ini kemudiannya akan ditambah dengan kos pengangkutan, sekuriti dan upah menyimpan.

Selepas mengira kos keseluruhan, kami akan memberitahu kenalan-kenalan tentang harga 4, 2, 1, 1/2 dan 1/4 Dinar Emas, samada secara sms, call atau email di sebelah pagi. Kami akan memberi anda 1/2 hari untuk membuat keputusan samada untuk membeli atau tidak. Ini adalah kerana harga emas berubah setiap hari. Oleh itu harga yang ditetapkan oleh Mariwasa dan Logam Mulia adalah sah untuk hari itu sahaja, iaitu sehingga pukul 5 petang. Di sebabkan itu anda perlu membuat keputusan samada hendak membeli atau tidak sebelum pukul 3 petang pada hari tersebut. Dengan kata lain, anda mendapat harga di sebelah pagi dan harus membuat keputusan sebelum pukul 3 petang pada hari yang sama. Oleh itu, kami cadangkan, apabila anda melihat harga emas jatuh keparas USD750 kebawah, anda sudah bersedia dengan wang simpanan anda dan membuat keputusan berapa Dinar Emas yang anda hendak tempa.

Sekiranya anda tidak berminat untuk menempa, anda tidak perlu membalas sms atau email, kerana kami berpendapat, diam bermakna anda tidak berminat. Tetapi sekiranya anda berminat untuk menempa Dinar Emas, balas sms atau email kami dan nyatakan:

1) Nama Penuh

2) Nombor MyKad

3) Alamat

4) Jenis Dinar Emas (samada 4, 2, 1, ½ atau ¼ Dinar) dan kuantiti bagi setiapnya. Seperti contoh:

1 x 4 Dinar (Bermakna anda mahu menempa 4 Dinar dalam 1 kuantiti sahaja).

5 x 1 Dinar (Bermakna anda mahu menempa 1 Dinar dalam 5 kuantiti).


Selepas membuat pesanan, anda diberi 2 hari untuk membuat pembayaran. Anda boleh bank-in ke dalam akaun kami (CIMB atau Maybank) dan pada hari kedua, kami akan menghantar semua bayaran ke Mariwasa atau Logam Mulia. Seterusnya, kami akan mengeluarkan resit bagi pembayaran yang telah anda buat kepada kami.

Selepas membuat bayaran, anda perlu menunggu selama 6 minggu untuk menerima Dinar Emas anda. Selepas 6 minggu atau apabila kami menerima Dinar Emas tersebut, kami akan menghubungi anda untuk urusan penghantaran atau pengambilan. Anda akan diberi resit penerimaan semasa mengambil Dinar Emas anda.

Sebenarnya ramai juga yang khuatir tentang waktu menunggu yang lama. Itu tidak dapat kami elakkan kerana kami tidak mempunyai modal untuk menempa dahulu sebelum menjualnya. Oleh itu kami cadangkan anda menghadiri seminar kami dan berkenalan dengan kami sebelum mengambil keputusan menempa Dinar Emas. Kerana urusan ini hanya berdasarkan kepercayaan dan keikhlasan sahaja. Keikhlasan kami menempanya untuk anda dan kepercayaan anda kepada usaha kami.

Sekiranya anda tidak mahu menunggu, anda boleh mendapatkannya melalui penyimpan lain yang ingin menukarkan Dinar Emas mereka kepada RM. Tetapi ini amat sukar kerana penyimpan selalunya sayang hendak menjual Dinar Emas mereka walaupun harga emas meningkat. Baca tajuk seterusnya untuk membeli dari penyimpan lain.

Penjualan Balik

Selalunya penyimpan-penyimpan Dinar Emas tidak mahu menjualnya kecuali terpaksa iaitu kerana kecemasan, untuk perbelanjaan anak-anak melanjutkan pelajaran, atau menunaikan Haji. Jadi, amat jarang kami berjumpa dengan penyimpan yang ingin menjualkan Dinar Emas miliknya. Adakalanya juga, ada individu yang menempa lebih untuk dijual, tetapi menukar fikiran selepas menerima Dinar Emas mereka, kerana sayang hendak menjualnya. Di sebabkan itu kami tidak ada menyimpan stok. Sekiranya penyimpan berminat nak menukar Dinar Emas mereka kepada RM, mereka akan memberitahu kami dan kami akan hubungi kenalan-kenalan mengenai informasi ini. Kami akan memberi nama dan nombor handphone penjual tersebut kepada kenalan untuk mereka uruskan sendiri penukaran tersebut. Di sini, penjual akan tentukan harga Dinar Emas mereka dan pembeli boleh berunding harga tersebut dengan penjual. Sebelum kewujudan blog ini, iklan mengenai penjualan balik cuma terhad kepada beberapa orang kenalan sahaja. Adakalanya kenalan ini akan forwardkan sms atau email tersebut kepada orang lain. Sesiapa yang berminat boleh cuba menghubungi penjual untuk urusan selanjutnya.

Selepas kewujudan Blog ini, mungkin proses ini akan jadi lebih mudah kerana kami boleh mengiklankannya di sini. Oleh itu sesiapa yang hendak menukarkan Dinar Emas mereka, boleh menghubungi kami untuk kami hebahkan kepada orang ramai. Adalah lebih baik kita menukarkannya sesama kita walaupun kedai emas sudah mula menerima Dinar Emas sekiranya anda hendak menjualnya disitu. Di Melaka, kedai emas mengambil Dinar Emas kurang 15% dari harga emas yang disiarkan. Ada setengah tempat lain, mereka cuma membayar 50% dari harga emas. Jadi anda harus berhati-hati dan membuat kajian terlebih dahulu sebelum menjualnya ke kedai emas. Untuk selamat, hubungi kami dan kami boleh menasihatkan anda apa yang boleh anda lakukan.

Kami harap, anda jelas dengan penerangan diatas. Sekiranya anda berminat untuk menerima sms/ email berkenaan penempaan Dinar Emas, emailkan kepada kami:

Nama Penuh

Handphone no.

Alamat / Lokasi

Nyatakan tajuk email: Mint Dinar

Sekian Wassalam.

Sunday, November 23, 2008

Syarikat Penempa Dinar Emas 999

Terdapat dua penempa dinar emas 999 yang dikenalpasti, iaitu Logam Mulia di Jakarta Indonesia dan Mariwasa Kraftangan Sdn. Bhd. di Kuala Kangsar, Perak, Malaysia. Logam Mulia, salah sebuah syarikat milik PT. Antam Tbk, mula terlibat di dalam perniagaan emas dan perak (gold and silver) semenjak tahun 1937. Keterangan lanjut mengenai Logam Mulia boleh didapati di laman web ini: http://www.logammulia.com/

Sebelum November 2005, Logam Mulia hanya menempa dinar emas 916 (kandungan emas 91.6%, dan selebihnya logam lain) dengan mempunyai berat 4.25 gram. Mereka juga ada menempa emas 999 dalam bentuk 1 gram, 3 gram, 5 gram dan 10 gram. Perbezaan di antara 916 dan 999 ialah kandungan emas di dalam dinar emas 916 ialah 91.6% dan dinar emas 999 mempunyai kandungan emas sebanyak 99.9%. Selain dari Malaysia, Logam Mulia juga menerima banyak pesanan dinar emas 999 dari pelanggan-pelanggan mereka di Indonesia sendiri. Pada bulan Oktober 2008, kami menerima berita iaitu Logam Mulia kehabisan stok emas disebabkan permintaan yang tinggi di ambang kegawatan ekonomi ini.

Syarikat penempa yang kedua adalah Mariwasa Kraftangan Sdn. Bhd. yang beralamat di Lot 522, Kuala Kangsar Industrial Estate, Malaysia. Mariwasa mula beroperasi pada tahun 1975. Mariwasa Kraftangan adalah pengilang dan pembekal pingat, cenderahati eksklusif, barangan emas, perak dan pewter. Selain dari itu mereka juga terlibat di dalam perusahaan peralatan membuat barang-barang kemas. Mariwasa yang sudah beroperasi selama 33 tahun ini sangat mementingkan kualiti dan teliti dalam pembuatannya. Keterangan lanjut mengenai Mariwasa boleh di dapati di: http://www.mariwasakraftangan.com/.

Penglibatan Mariwasa Kraftangan dalam pembuatan dinar emas 999 bermula pada tahun 2007. Sehingga kini Mariwasa masih aktif di dalam pembuatan dinar emas 999. Dan kami diberitahu bahawa Mariwasa menerima pesanan yang tinggi bagi dinar emas 999 pada bulan Oktober 2008. Mariwasa dijangka menerima tempahan lagi di awal bulan Disember 2008 dan sedang dalam perancangan untuk menempa Dirham. Ikuti perkembangan lanjut tentang penempaan dinar emas dan dirham di blog ini dalam masa yang terdekat.