Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Alhamdulillah dapat juga saya menulis serba ringkas di dalam blog ini walaupun agak sibuk membuat persiapan bekerja dan ke luar negara. Kepada mereka yang masih berminat untuk mendapatkan Dinar LM 9999 pada setiap bulan, saya akan berikan senarai nombor telefon dan nama yang dapat anda hubungi kemudian.
Ok sekarang mari kita berkongsi perjalanan jelajah dinar dan dirham di Johor pada 2hb May Ahad yang lepas. Sepatutnya pada tarikh tersebut kami(Team The Gold Dinar) akan megadakan sesi ceramah dan pameran dinar dan dirham di Masjid Taman Perling. Kehadiran orang yang ramai kami rasakan agak rugi sekiranya mereka tidak mendengar ceramah daripada pensyarah MMU ini kerana ilmu ini tidak ramai yang memilikinya. Pihak masjid juga telah bersetuju untuk memberikan ruang ceramah. Tetapi pada last minute ceramah kami dibatalkan atas sebab pensyarah kami tidak ada permit dan tauliah. Kami rasakan agak terkilan dengan apa yang berlaku tapi kami anggap ia adalah lumrah perjuangan. Sebagai seorang pensyarah yang biasa mendidik anak-anak muda selama belasan tahun masih perlukan tauliah ke? Orang yang biasa membentangkan ekonomi syariah di seminar dalam dan luar negara pun masih tidak layak memberikan ceramah di masjid. Memang agak mengecewakan kerana zaman sekarang ni nak buat benda yang melalaikan amat mudah, pub, rumah urut, pusat karaoke, pusat perjudian dan sebagainya senang didapati tapi bila benda baik macam ni ada sahaja pihak yang akan mengganggu dengan alasan undang-undang dan protokol ciptaan manusia. Hal ini lebih kurang samalah yang berlaku dengan Dr Asri Zainal Abidin (http://www.drmaza.com/) iaitu bekas Mufti Perlis, didakwa kerana memberikan ceramah di Selangor tanpa permit dan tauliah padahal beliau adalah bekas mufti dan orang kenamaan, yang membezakannya penceramah kami masih belum didakwa J. Alhamdulillah.
Terima kasih kepada pihak masjid kerana walaupun sesi ceramah kami dibatalkan mereka masih lagi memberikan ruang pameran dan membenarkan kami memberi penerangan dinar dan dirham secara face to face kepada orang ramai. Sambutan agak memberangsangkan walaupun mereka belum lagi mendengar ceramah. Pertanyaan dan persoalan mula timbul ketika kami memberikan penerangan. Ada yang bertanyakan tentang keuntungan, ada yang menanyakan tentang kelayakan company kami, ada yang berkongsi pandangan tentang fitnah yahudi, ada yang merasakan pihak kami hendak menentang bank, ada yang merasakan ini adalah impian Dr. Mahathir, ada yang menginginkan kami memberi ceramah di jabatan kerajaan mereka dan macam-macam lagilah. Alhamdulillah kami mampu menjawabnya.
Bila berkata pasal perjuangan ini, rugi pun kami sanggup, kalau nak percuma pun kami mampu beri sekiranya memenuhi syarat , Insya Allah, rezeki yang Allah bagi kepada kami lebih dari cukup, kami melibatkan diri dalam perjuangan ini bukanlah nak memperjuangkan keuntungan, lebih baik kami berniaga benda lain yang lebih menguntungkan tapi siapa lagi yang dapat memberitahu kepada masyarakat selain orang yang mempunyai kesedaran emas dan dinar dirham iaitu kami sendiri kerana seolah-olah telah menjadi fardhu ain ke atas kami. Di dalam hati kami adalah tawakal kepada Allah, berserah diri kepadanya, cuba merubah diri yang masih bergelumang dengan dosa secara sedar dan tidak, cuba beristiqamah dalam perjuangan walaupun banyak ujian yang kami tempuh, kepadanyalah kami menangis dan mengadu dan kami tahu rezeki Allah amat luas dan rezeki kami mungkin berada di tempat lain, bukanlah dalam perjuangan dinar dan dirham..... Insya Allah, semoga Allah menetapkan iman kami dan menyucikan kami dari syirik kecil.
Di akhir kata ini ingin saya berkongsi satu hadis nabi khas ditujukan kepada Team The Gold Dinar dan kepada sesiapa pun diluar sana yang memperjuangkan syiar Islam walaupun dimana sahaja anda berada. Insya allah, semoga kita ikhlas dan istiqamah dalam perjuangan
Sabda Nabi SAW:
“Sesiapa yang akhirat itu tujuan utamanya, maka Allah jadikan kekayaan dalam jiwanya. Allah mudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (dalam keadaan dirinya mulia). Sesiapa yang menjadikan dunia tujuan utamanya, maka Allah akan letakkan kefakiran antara kedua-dua matanya. Allah cerai beraikan urusanya dan dunia pula tidak datang kepadanya melainkan dengan apa yang ditakdirkan untuknya (dalam keadaan dirinya hina).”
(Riwayat at-Tarmizi, dinilai hasan oleh al-Albani)
Dibawah ini ada beberapa gambar yang dapat dikongsikan bersama....Wassalam.
No comments:
Post a Comment